Bunga Ros Jepun di Malaysia

Bunga Ros Jepun atau bunga pukul 10 sangat dikenali di Malaysia. Di Indonesia ia dikenali sebagai bunga krokot. Bunga Ros Jepun sangat cantik menyebabkan ia sangat diminati dikalangan kaum wanita. Bunga ini kelihatan seperti bunga  mawar dan disebabkan tu ia dikenali sebagai bunga Ros Jepun. Bunga Ros Jepun atau nama saintifiknya Portulaca grandiflora tergolong dalam famili Portulacaceae. Terdapat lebih 100 spesies dari genus Portulaca. Nama portulaca berasal dari portula Latin, yang bermaksud “pintu kecil,” untuk bahagian atas kapsul. Portulaca dikatakan mula diperkenalkan dari Amerika Selatan pada awal tahun 1700-an.

Bunga Ros Jepun salah satu tumbuhan berbunga yang sangat mudah ditanam, tidak cerewet dan sangat mudah dibiakkan. Bunga Ros Jepun tidak memerlukan penjagaan yang rapi namun masih lagi boleh tumbuh dengan baik dan sangat cepat. Ros Jepun mempunyai pelbagai variasi warna membuatkan ramai yang ingin mengumpul koleksi bunga ros jepun. Antaranya ialah warna merah, merah jambu, kuning, putih, peach, ungu, oren dan warna batik. Terdapat juga kelopak bunga yang mempunyai gabungan dua warna.Kebiasaannya bunga ros jepun yang cantik ini kebiasaanya akan membuka kelopak bunganya pada waktu pagi dan untuk masa yang terhad sahaja. Semasa hari hujan atau mendung di mana tidak cukup cahaya matahari, bunga ros jepun tidak akan berkembang mekar.

Pokok Ros Jepun lebih suka tanah yang peroi dan sedikit berpasir serta matahari penuh. Namun, ia masih lagi tahan tidak kira apapun jenis tahan. Ia juga sangat tahan walaupun dengan keadaan yang panas dan kering, namun pastikan tanah sentiasa lembap dan air mencukupi. Cara membiakkan pokok ros jepun sangat mudah. Ia boleh dibiakkan melalui keratan batang yang telah matang. Cucuk sahaja dalam tanah dan lihatlah dia tumbuh.

Pokok bunga ros jepun sangat sesuai dijadikan hiasan samada ditanam menggunakan pasu gantung dan meletakknya di tepi pagar atau tingkap.